Hidup sihat dengan organik
Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
GADIS manis berusia pertengahan 20-an ini telah hampir setahun mengamalkan makanan organik. Maya Ardilia Husin, graduan undang-undang dari universiti tempatan berkata, beliau beralih kepada corak pemakanan organik kerana khasiat yang diperoleh daripadanya.
“Saya mengetahui kebaikan pemakanan organik ini melalui majalah, internet dan media massa yang lain. Dalam masa setahun saya mengamalkannya, saya rasa diri ini lebih cergas dan kesihatan bertambah baik.
“Saya mengambil keputusan mengamalkannya kerana saya ini bukanlah seorang yang suka memakan sayur-sayuran, justeru itu bagi mengimbangi khasiat di dalam tubuh, maka saya memilih untuk mencuba makanan organik yang sememangnya bebas daripada bahan kimia dan semburan racun perosak yang boleh memudaratkan kesihatan,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau kerap mengambil makanan organik seperti soya, bijirin, buah-buahan, kopi madu dan jus teh epal yang boleh merangsangkan kesihatan lebih baik.
“Walaupun ada yang mengatakan makanan organik ini lebih mahal, namun kebaikan di sebaliknya lagi ‘mahal’ untuk kesihatan jangka masa panjang,” katanya
Maya yang berasal dari Pulau Pinang menambah, masyarakat Malaysia khususnya masih belum lagi mengetahui khasiat makanan organik ini kerana belum banyak pendedahan mengenainya.
“Sekiranya telah mencuba buat pertama kali terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran, pasti hendak lagi kerana kelainan rasa berbanding dengan yang ditanam dengan konvensional.
“Rasanya lebih sedap dan manis, begitu juga dengan roti yang dibuat daripada tepung organik dan jus organik. Keasliannya memang terasa. Tidak rugi walaupun terpaksa mengeluarkan wang yang lebih. Ia memberi kepuasan yang tidak terhingga,’’ ujarnya.
MAKANAN organik masih terlalu asing bagi masyarakat di negara ini. Tidak banyak pendedahan mengenainya dilakukan walaupun makanan ini telah popular di beberapa negara lain di dunia.
Sebenarnya, memakan makanan organik bukan sahaja mengubah gaya hidup dan kesihatan seseorang malah boleh menyelamatkan bumi daripada terus tercemar dengan bahan kimia akibat aktiviti pertanian.
Banyak persepsi mengenai makanan organik ini. Antaranya ialah makanan khusus untuk mereka yang telah dihidapi penyakit terutamanya kanser atau makanan golongan atasan.
Itu tidak benar, ia adalah makanan untuk semua yang pentingkan kesihatan dan mencintai alam semula sekitar. Malah ia juga boleh melindungi generasi akan datang daripada terus memakan makanan yang dicemari selain melindungi kualiti air, menjimatkan tenaga, membaiki gaya hidup dan sistem nilai, mengekalkan nutrien dan lebih penting lagi rasanya lebih sedap berbanding dengan bukan organik.
Ketua Pegawai Eksekutif Justlife Group Sdn. Bhd., Callie Tai, 41, berkata, gaya hidup dengan memakan makanan organik masih lagi belum popular di Malaysia, ini kerana tidak ada kesedaran dan pendedahan dilakukan secara serius mengenai makanan tersebut.
Menurutnya, makanan organik bukan sekadar untuk kesihatan tetapi membantu menyelamatkan alam sekitar daripada tercemar. Ini kerana organik ialah makanan yang ditanam tanpa menggunakan baja kimia atau disembur racun perosak.
‘‘Satu kelebihan tanaman organik ialah pencemaran kimia dan racun perosak dapat dikurangkan hampir ke tahap kosong.
‘‘Saya yakin, sedikit demi sedikit pemahaman masyarakat mengenainya akan meningkat juga kerana kini kesedaran menjaga kesihatan dan kos perubatan yang tinggi menyebabkan orang ramai lebih prihatin dalam segi pemakanan sejak muda lagi.
‘‘Ini terbukti apabila semakin banyak kedai menjual produk organik telah wujud di seluruh negara dan kerajaan juga turut menggalakkan pertanian organik sebagai pilihan kepada petani,” katanya ketika ditemui di Justlife Shop, Ikano Power Centre, Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Menyingkap sejarah bagaimana beliau menceburi bidang ini, Callie berkata, beliau telah diperkenalkan dengan makanan organik ketika berada di Singapura pada akhir tahun 90-an.
komen:
Menang benar jika makanan bukan organik, kita terpaksa berhadapan dengan penyakit yang bakal dihidapi dan kos perubatan tinggi untuk mengubatinya akibat daripada bahan kimia yang terkandung di dalamnya sejak tanamannya lagi sehinggalah diproses.
Sebenarnya membeli makanan organik ialah pelaburan jangka masa panjang. Jika kesihatan kita baik, maka kita tidak perlu mengeluarkan kos tinggi untuk perubatan, tidak juga dihidapi penyakit yang boleh membuat kita menderita dan yang penting ialah bumi kita selamat daripada racun perosak dan bahan tercemar.Begitu juga jika anda membeli sayur-sayuran, tiada semburan bahan kimia, racun serangga, fungus dan baja tiruan yang boleh menjejaskan kesihatan serta amalan pertanian itu boleh membantu mengekalkan nutrien pada tanah.
Sebenarnya pengambilan roti organik juga boleh memberi nilai kepada kesihatan. Walaupun harganya lebih mahal daripada roti biasa, tetapi faedah yang tersembunyi tidak terhingga tinggi nilainya untuk kehidupan gaya sihat. Saya berhasrat untuk mengambil makanan dan memgalakkan keluarga saya untuk mengambil makanan organik mulai hari ini selepas membaca rencana diatas.
Sama-sama kita memperlihara kesihatan kita dan duit itu tiada nilai jika kesihatan kita tergadai.